Nak Belajar Ilmu Berjalan Atas air?

Posted by Unknown On Friday, November 26, 2010 0 comments

Dan dikata orang bagi Abu Yazid[Al-Bustami ra.];

* Bahawasanya si fulan berjalan ia di atas air. Maka katanya; "Ikan itu terlebih ajaib(hairan) daripada demikian itu kerana ia pekerjaannya".
* Maka dikata orang baginya bahawa si fulan itu berjalan ia di atas angin. Maka katanya; "Burung itu terlebih ajaib aku daripada demikian itu kerana ia halnya".
* Maka dikata orang baginya bahawa si fulan berjalan ia kepada Mekah dan kembali ia pada harinya. Maka katanya; "Iblis itu terlebih ajaib aku daripada demikian itu; berkeliling bumi sekeliannya dalam satu ketika jua iaitu dalam laknat Allah Taala.


JOM BELAJAR ILMU AGAMA DENGAN KELDAI...

Posted by Unknown On Friday, November 12, 2010 0 comments


Pernah saya mendengar sebuah cerita sufi dari Turki – seorang yang bernama Nuruddin Khoja. Dia yang berserban dan berjubah besar pada suatu ketika menaiki keldai memasuki sebuah kampung. Orang kampung mengalu-alukan kedatangannya dan melaung, “ulama, ulama, ulama… ulama sudah datang. Mari kita belajar daripadanya.” Dia hairan lalu bertanya, “mana kamu semua tahu yang aku ini ulama?” Orang kampung itu menjawab, “daripada serban dan jubah yang kamu pakai.” Lalu Nuruddin meletakkan serbannya di atas kepala keldainya dan berkata, “ayuh, belajarlah daripada keldai ini.”
Orang kampung kehairanan dan bertanya, “mengapa kami perlu belajar dari keldai ini?” Nuruddin secara selamba menjawab, “bukankah kamu semua beranggapan bahawa aku seorang ulama hanya kerana aku berserban? Jika demikian keldai ku sekarang telah berserban, maka kamu belajarlah daripadanya.” Sindiran sinis daripada Nuruddin ini sesungguhnya membuktikan bahawa pakaian luaran bukan petunjuk kepada nilai diri kita. Nilai ulama pada ilmu dan akhlaknya, bukan pada serban dan  jubahnya. Tetapi begitulah selalunya, nilaian orang terhadap kita dan nilaian kita terhadap diri kita sendiri. Jika tidak masakan timbul ‘konflik’ kopiah putih vs songkok hitam satu ketika dulu.


BELAJAR ILMU IKHLAS

Posted by Unknown On 0 comments

“Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan. 
“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
“Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.
“Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“Dengan memikul batu-batu ini?”
“Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.


Lorem Ipsum

Powered by Blogger.